Imam Malik berkata:

من ابتدع في الإسلام بدعة يراها حسنة فقد زعم أن محمدا صلى الله عليه وسلم خان الرسالة، لأن الله يقول: (اليَومَ أكْمَلْتُ لَكُم دِينَكُمْ) فما لم يكن يومئذ دينا فلا يكون اليوم دينا

Sesiapa yang membuat bid‘ah dalam Islam dan menganggapnya baik maka dia telah mendakwa Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: “Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu”. Apa yang pada hari tersebut tidak menjadi agama, maka dia tidak menjadi agama pada hari ini. al-Syatibi, al-I’tishom, m.s. 35.

Sabtu, 11 Disember 2010

Al-Ibanah, Bukan Rekaan Golongan Wahabiyyah.

Al-Ibanah, Bukan Rekaan Golongan Wahabiyyah.

Oleh:

al-Ustaz Muhammad Zulfadhli Ibn Mohd Razi (Ibn al-Razi al-Malizi)

Mahasiswa Usuluddin Universiti al-Azhar Tanta,

Jabatan Usuluddi dan Dakwah Islamiyyah, Universiti al-Azhar Tanta.

بسم الله الرحمن الرحيم

إن الحمد لله، نحمده ونستعينه، ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا، وسيئات أعمالنا، من يهده الله فلا مضل له، ومن يضلل فلا هادي له، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله.

(يا أيها الذين آمنوا اتقوا الله حق تقاته ولا تموتن إلا وأنتم مسلمون)، (يا أيها الناس اتقوا ربكم الذي خلقكم من نفس واحدة وخلق منها زوجها وبث منهما رجالا كثيرا ونساء واتقوا الله الذي تساء لون به والارحام

إن الله كان عليكم رقيبا)، (يا أيها الذين آمنوا اتقوا الله وقولوا قولا سديدا يصلح لكم أعمالكم ويغفر لكم ذنوبكم ومن يطع الله ورسوله فقد فاز فوزا عظيما).

أما بعد، فان أصدق الحديث كتاب الله، وأحسن الهدي هدي محمد، وشر الامور محدثاتها، وكل محدثة بدعة وكل بدعة ضلالة، وكل ضلالة في النار.

Di dalam kesempatan waktu yang ada ini, masih lagi diberikan ruang dan peluang oleh Allah Ta'ala, untuk menyiapkan satu makalah kecil sebagai suatu info yang diharapkan akan memberikan manfaat kepada penulis dan juga para pembaca sekalian. Dikesempatan ini, terasa sekali bagi penulis untuk membincangkan serba sedikit berkenaan tajuk "al-Ibanah, bukan rekaan golongan al-Wahabiyyah". Terlebih dahulu, diharapkan para pembaca tidak terlalu beremosi ketika membaca makalah yang tidak seberapa ini. Marilah sama-sama kita timbang dan nilai keputusannya, menurut neraca ilmiah, bukan berdasarkan emosi yang membabi buta. Coretan ini hanyalah sekadar membuka pemikiran para pembaca sekalian, berkaitan tajuk yang akan diperbahaskan.

Hampir kesemua bersepakat, bahawa al-Ibanah merupakan hasil karangan al-Imam 'Ali bin Isma'il bin Abi Basyar bin Ishaq, atau lebih dikenali sebagai al-Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari Rahimahullah. Namun, terdapat segelintir daripada pengikut al-Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari yang cuba menafikan kandungan yang terdapat didalam kitab al-Ibanah 'An Usul al-Diyanah. Ini kerana, akidah yang terdapat di dalam kitab al-Ibanah adalah aqidah bermanhaj salaf, yang bertentangan dengan aqidah yang dipegangi oleh para pengikut al-Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari Rahimahullah, yang beraqidah dengan manhaj khalaf. Oleh kerana itulah, golongan al-Asy'ariah mengatakan bahawa kitab al-Ibanah 'An Usul al-Diyanah telah pun diselewengkan oleh golongan al-Wahabiyyah. Dikatakan bahawa golongan al-Wahabiyyah telah mengubah apa yang terdapat di dalam kitab al-Ibanah yang asal, sehingga ianya dipenuhi dengan aqidah bermanhaj salaf.

Tulisan ini adalah semata-mata untuk menyatakan bahawa golongan al-Wahabiyyah telah menyelewengkan kitab al-Ibanah daripada yang asal adalah fitnah semata-mata. Ini adalah berdasarkan beberapa dalil dan hujjah yang kukuh. Terlebih dahulu , kita imbas kembali akan pengakuan para 'ulama' bahawa al-Ibanah 'An Usul al-Diyanah adalah kitab karangan al-Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari:

1-Ibn Farihun al-Maliki menulis di dalam kitab al-Dibaj beliau:

"Bagi al-Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari, terdapat beberapa kitab (yang dikarang beliau), antaranya adalah kitab al-Luma' al-Kabir dan al-Luma' al-Shaghir, serta kitab al-Ibanah 'An Usul al-Diyanah"[al-Dibaj al-Mazhab Fi Ma'rifah A'yan 'Ulama' al-Mazhab, 193-194]

2-'Abd al-Hayy Ibn al-'Ammad al-Hanbali:

"Abu al-Hasan telah berkata di dalam kitab beliau, al-Ibanah fi Usul al-Diyanah, yang merupakan kitab terakhir karangan beliau"[Syazrat al-Zahab Fi A'yan Min Zahab, 2/303]

3- Said Murtadha al-Zubaidi menulis:

"Setelah bertaubat daripada Mu'tazilah, al-Imam Abu al-Hasan telah menulis tiga jilid kitab yang bermanfaat di dalam menolak fahaman Jahmiyyah dan Mu'tazilah, dan (turut menulis) kitab Maqalat al-Islamiyyin, serta kitab al-Ibanah"[Ittihaf al-Sadah al-Muttaqin Bi Syarh Asrar Ihya' Ulum al-Din, 2/2]

4-al-Hafiz al-Kabir Ahmad bin al-Hussain bin 'Ali al-Baihaqi al-Syafi'ie (w 458) berkata:

"Dan 'Ali bin Isma'il juga telah menyebutkan (perihal al-Qur'an adalah Kalam Allah) di dalam kitab beliau, al-Ibanah"[al-I'tiqad al-Hidayah Ila Sabil al-Arrasyad, 31]

5-al-Imam al-Hafiz al-Zahabi turut mengiktiraf bahawa al-Ibanah merupakan kitab tulisan al-Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari. [al-'Ulu al-'Ali Li al-Gaffah, 278]

Hal ini telah disebutkan oleh sekian ramai lagi, seperti Ibn 'Asakir, Ibn Katsir, Abu al-Qasim 'Abd al-Malik bin 'Isa bin Darbas al-Syafi'ie, Ibn Taimiyyah, al-Syaikh Hammad al-Ansari, al-Suyuti, Ibn Hajar al-Haitsami, Ibn al-Qayyim, al-Alusi, dan sekian ramai 'ulama' yang menisbahkan kitab al-Ibanah kepada al-Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari Rahimahullah. Hanya saja golongan yang jahil akan ilmu agama yang menafikan bahawa kitab tersebut merupakan karangan al-Imam Ahli al-Sunnah (Abu al-Hasan al-Asy'ari).

Berbalik kepada focus perbincangan, adakah golongan al-Wahabiyyah telah melakukan penyelewengan terhadap kitab al-Ibanah?? Seperti yang telah ditegaskan tadi, al-Ibanah yang ada pada hari ini, adalah seperti yang dikarang oleh al-Imam Abu al-Hasan. Hal ini jelas sekali, kerana para 'ulama' terdahulu pun mengi'tiraf al-Ibanah sebagai kitab bermanhaj salaf.

Al-Imam Ibn Katsir menyebut:

"Mereka telah menyebutkan bahawa al-Syaikh al-Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari telah melalui tiga peringkat di dalam ilmu aqidah:

Peringkat Pertama: Beliau sebagai seorang yang berfahaman Mu'tazilah dan kemudianya telah bertaubat.

Peringkat Kedua: Peringkat di mana beliau (al-Imam Abu al-Hasan) mengitsbatkan Sifat-sifat Allah berdasarkan akal, seperti Sifat al-Hayah (Yang Maha Hidup), al-'Ilm (Yang Maha Mengetahui), al-Qudrah (Yang Maha Berkuasa), al-Iradah (Mengkehendaki), al-Sam' (Yang Maha Mendengar) , al-Bashar (Yang Maha Melihat), al-Kalam (Berbicara), dan mentakwil ayat-ayat, seperti al-Yadain (kedua tangan Allah), al-Qadam (kaki), al-Saq (betis) dan seumpamanya.

Peringkat Ketiga: Beliau mengitsbatkan (menetapkan tanpa takwilan) segala sifat-sifat tersebut, tanpa keadaan (tanpa gambaran bagaimana bentuknya) dan tanpa menyamakan (sifat –sifat tersebut dengan sifat makhluk). Ianya adalah selari dengan manhaj Salaf, dan ianya juga merupakan jalan (manhaj salaf) yang dilalui oleh beliau, seperti yang dinyatakannya di dalam al-Ibanah, yang merupakan kitab terakhir beliau"[Ittihaf al-Saadah al-Muttaqin, 2/3]

Al-Imam Ibn Katsir sendiri mengesahkan bahawa kitab al-Ibanah yang dikarang oleh al-Imam Abu al-Hasan adalah mengikut manhaj salaf. Hal ini menunjukkan bahawa golongan al-Wahabiyyah tidak pernah menukarkan kitab al-Ibanah, kerana al-Imam Ibn Katsir yang hidup sebelum kebangkitan golongan al-Wahabiyyah lagi, menyatakan ianya sememangnya ditulis diatas manhaj salaf. Hal ini turut disebutkan oleh al-Imam Ibn al-Qayyim, beliau berkata:

"al-Imam Ibn Taimiyyah telah berkata: Takkala al-Asy'ari bertaubat daripada mazhab Mu'tazilah, beliau telah melalui jalan Ahli al-Sunnah dan Hadits, dan menisbahkan dirinya (mengikut) kepada (mazhab) al-Imam Ahmad bin Hanbal "[al-Juyusy al-Islamiyyah, 111]

Penulisan al-Ibanah berdasarkan aqidah dan manhaj salaf ditulis sendiri oleh al-Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari setelah beliau bertaubat daripada aqidah Mu'tazilah dan daripada aqidah menta'wil sifat-sifat Allah berdasarkan akal (yang berasal daripada pemikiran falsafah al-Yunani), dan bukanlah rekaan dan bebas daripada penyelewengan oleh golongan al-Wahabiyyah.

Al-Imam al-Zahabi menyebutkan:

"Aku telah membaca sebuah kitab karangan Abu al-Hasan al-Asy'ari yang diberi nama al-Ibanah, ia menjadi petunjuk tentang pengitsbatan (Abu al-Hasan) terhadap Istiwa' (Allah diatas 'Arasy).[al-'Ulu, 278]

Al-Imam al-Zahabi juga dilahirkan berabad sebelum kemunculan golongan al-Wahabiyyah. Secara tidak langsung, beliau (al-Zahabi) mengesahkan bahawa apa yang terdapat di dalam kitab al-Ibanah sebelum kemunculan golongan al-Wahabiyyah dan selepas kemunculan golongan al-Wahabiyyah adalah sama seperti yang ada pada hari ini. Amat tidak logiklah jika dituduh golongan al-Wahabiyyah telah melakukan penyelewengan terhadap al-Ibanah.

Hal yang sama turut disebutkan oleh al-Hafiz al-Kabir Abu Bakr Ahmad bin al-Husain bin 'Ali al-Baihaqi al-Syafi'ie yang meninggal pada tahun 458 Hijrah, beliau menukilkan sebahagian daripada apa yang terdapat di dalam al-Ibanah, seperti yang tertulis didalam kitab beliau yang bertajuk al-I'tiqad wa al-Hidayah. Ternyata setelah penulis memeriksa, apa yang dinukilkan oleh beliau daripada kata-kata al-Imam al-Asy'ari di dalam al-Ibanah pada tahun 400 hijrah itu, sama dengan apa yang masih ada pada hari ini.

Al-Imam Ibn al-Qayyim menyebutkan lagi:

"Dan Abu Hasan al-Asy'ari dan Imam-Imam daripada kalangan sahabat beliau, seperti al-Hasan al-Tabari, Abi 'Abdillah bin al-Mujahid dan al-Qadhi Abi Bakr al-Baqillani, mereka bersepakat tentang mengitsbatkan (menetapkan tanpa takwilan) Sifat-sifat yang dikhabarkan seperti yang disebutkan di dalam al-Qur'an, seperti al-Istiwa', al-Wajh, al-Yadain, dan mereka tidak menerima takwilan terhadap sifat-sifat tersebut. Dan tidak ada bagi al-Imam al-Asy'ari dua pendapat terhadap perkara tersebut (di dalam mengitsbatkan ataupun mentakwil sifat-sifat Allah) secara asal. Dan tidak pula disebutkan satu daripada (kata-kata) al-Asy'ari yang mengatakan bahawa beliau berpendapat di dalam perkara tersebut adanya dua pendapat. Akan tetapi, (hanya) bagi pengikut beliau sahaja yang berpendapat adanya dua pandangan berhubung perkara tersebut (berkenaan sifat-sifat Allah).[al-Juyusy al-Islamiyyah, 111]

Kesimpulannya, segala tuduhan terhadap golongan al-Wahabiyyah itu adalah tidak berasaskan dalil-dalil dan bukti-bukti yang logic sekalipun. Yang ada hanyalah bukti-bukti kukuh yang menafikan tuduhan bahawa golongan al-Wahabiyyah telah melakukan penyelewengan terhadap kitab al-Ibanah. Malah tidak ada bukti sejarah yang kukuh pun yang mendakwa golongan al-Wahabiyyah telah melakukan penyelewengan. Berbeza seperti yang dilakukan oleh golongan orientalis barat terhadap kitab Tarikh al-Tabari, yang disebutkan di dalam sejarah bahawa kitab tarikh tersebut telah dikumpulkan oleh golongan orientalis sehingga ianya lenyap daripada kutub khanah umat Islam. Maulana Syibli al-Nu'mani menyebut bahawa kitab ini (Tarikh al-Tabari atau nama sebenar kitab tersebut adalah Tarikh al-Umam wa al-Muluk) tidak ditemui beberapa lama didunia Islam, dan ia mula diterbitkan di dunia barat oleh para orientalis.[Sirah al-Nabi, 1/54]

Di satu tempat yang lain, Maulana Syibli menulis:

"Dalam masa 14 tahun, iaitu daripada tahun 1879 M hingga 1892 M, dengan tidak mengenal penat lelah, Prof. J. Barth, Prof. MJ. De Geoje, Prof. Noldeke dan beberapa orang professor lain telah berusaha menerbitkan kitab al-Tabari yang terkenal itu setelah tidak ditemui sekian lama didunia Islam."[Sirah al-Nabi, 1/107]

Tidak pula ditemui (sejauh pembacaan penulis yang serba sedikit) adanya bukti sejarah yang mengatakan golongan al-Wahabiyyah pernah melakukan penyelewengan terhadap al-Ibanah. Oleh itu, kembalilah kejalan salaf yang benar, seperti mana al-Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari pernah kembali, kerana tiada jalan yang dapat memandu manusia kejalan yang mendapat petunjuk Allah, melainkan jalan yang dilalui oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, para sahabat Baginda, pengikut kepada sahabat Baginda (al-Tabi'in) dan jalan orang-orang yang melalui jalan tersebut. Wallahua'lam…

Dipetik daripada: http://prosunnah.webs.com/himpunanfatawa.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan