Imam Malik berkata:

من ابتدع في الإسلام بدعة يراها حسنة فقد زعم أن محمدا صلى الله عليه وسلم خان الرسالة، لأن الله يقول: (اليَومَ أكْمَلْتُ لَكُم دِينَكُمْ) فما لم يكن يومئذ دينا فلا يكون اليوم دينا

Sesiapa yang membuat bid‘ah dalam Islam dan menganggapnya baik maka dia telah mendakwa Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: “Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu”. Apa yang pada hari tersebut tidak menjadi agama, maka dia tidak menjadi agama pada hari ini. al-Syatibi, al-I’tishom, m.s. 35.

Jumaat, 2 Julai 2010

Apa yang anda pelajari dan apa yang ana kaji

Muhammad Zulfadhli bin Mohd Razi (Ibn al-Razi al-Nuri)

Mahasiswa Usuluddin wa al-Dakwah al-Islamiah, Universiti al-Azhar Tanta.





Al-Imam Ahmad meriwayatkan hadits ini di dalam musnadnya, beliau berkata:



حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ حَدَّثَنَا مَعْمَرٌ قَالَ وَأَخْبَرَنِي عُثْمَانُ الْجَزَرِيُّ أَنَّ مِقْسَمًا مَوْلَى ابْنِ عَبَّاسٍ أَخْبَرَهُ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ

فِي قَوْلِهِ

{ وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ }

قَالَ تَشَاوَرَتْ قُرَيْشٌ لَيْلَةً بِمَكَّةَ فَقَالَ بَعْضُهُمْ إِذَا أَصْبَحَ فَأَثْبِتُوهُ بِالْوَثَاقِ يُرِيدُونَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ بَعْضُهُمْ بَلْ اقْتُلُوهُ وَقَالَ بَعْضُهُمْ بَلْ أَخْرِجُوهُ فَأَطْلَعَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ نَبِيَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى ذَلِكَ فَبَاتَ عَلِيٌّ عَلَى فِرَاشِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تِلْكَ اللَّيْلَةَ وَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى لَحِقَ بِالْغَارِ وَبَاتَ الْمُشْرِكُونَ يَحْرُسُونَ عَلِيًّا يَحْسَبُونَهُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا أَصْبَحُوا ثَارُوا إِلَيْهِ فَلَمَّا رَأَوْا عَلِيًّا رَدَّ اللَّهُ مَكْرَهُمْ فَقَالُوا أَيْنَ صَاحِبُكَ هَذَا قَالَ لَا أَدْرِي فَاقْتَصُّوا أَثَرَهُ فَلَمَّا بَلَغُوا الْجَبَلَ خُلِّطَ عَلَيْهِمْ فَصَعِدُوا فِي الْجَبَلِ فَمَرُّوا بِالْغَارِ فَرَأَوْا عَلَى بَابِهِ نَسْجَ الْعَنْكَبُوتِ فَقَالُوا لَوْ دَخَلَ هَاهُنَا لَمْ يَكُنْ نَسْجُ الْعَنْكَبُوتِ عَلَى بَابِهِ فَمَكَثَ فِيهِ ثَلَاثَ لَيَالٍ

Maksudnya: “Dengan sanadnya, al-Imam Ahmad meriwayatkan daripada ‘Utsman al-Jazari daripada Miqsan daripada Ibn ‘Abbas di dalam menafsirkan ayat

{ وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ }

30. “Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu.”[Surah al-Anfal, ayat 30]

Orang-orang kafir Quraisy telah bermesyuarat pada suatu malam di Makkah. Maka, seseorang daripada mereka berkata, apabila tiba subuh, maka kamu penjarakanlah dia dengan mengikatnya, yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad Sallahu’alaihiwasallam, dan sebahagian daripada mereka berkata, bahkan bunuhlah dia, yang lain pula berkata, keluarkanah dia. Maka Allah Ta’ala mengkhabarkan kepada NabiNya, Muhammad Sallallahu’alahiwasallam mengenai perkara tersebut. Oleh kerana itulah, maka ‘Ali telah tidur di atas katil Nabi Sallallah’alaihiwasallam. Dan Nabi Sallallahu’alaihiwasallam telah keluar, sehingga Baginda Sallallahu’alaihiwasallam bersembunyi di dalam gua. Dan orang-orang Musyrikin yang mengawasi ‘Ali yang mereka sangkakan Rasulullah telah tertidur. Apabila telah pagi, mereka terus menerkam kepadanya, tatkala mereka melihat ‘Ali, Allah Ta’ala telah menghancurkan rancangan jahat mereka. Maka mereka pun berkata: Dimanakah sahabat (Rasulullah) kamu ini? Maka ‘Ali berkata: Aku tidak mengetahuinya. Maka mereka pun mengesan jejak Baginda Sallallahu’alaihiwasallam. Apabila mereka telah sampai ke kaki bukit, mereka pun berkumpul dan seterusnya mendaki bukit tersebut. Kemudian mereka berjalan kearah gua, maka mereka lihat di atas pintu gua tersebut terdapa sarang labah-labah, lalu mereka berkata: Kalaulah dia (Rasulullah) telah masuk ke sini, pasti tidak akan ada sarang labah-labah di pintu ini. Maka, Rasulullah Sallallahu’alahiwasallam berterusan tinggal di dalam gua tersebut selama 3 hari.

Mungkin rata-rata daripada masyarakat kita mengetahui akan hal ini, mengenai peristiwa-peristiwa yang selalu diceritakan. Sudah maklum bagi kita akan kisah Saidina ‘Ali Radiyallahu’anhu mengantikan tempat tidur Baginda Sallallahu’alaihiwasallam semasa peristiwa hijrah. Juga sudah maklum bagi kita, akan peristiwa dimana labah-labah membuat sarang ketika Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sedang berada di dalam gua bersama-sama sahabat beliau, Abu Bakar al-Siddiq. Ini ditambah dengan kisah 2 ekor burung merpati yang betenggek di depan pintu gua semasa keberadaan Baginda Sallallahu’alaihiwasallam bersama Abu Bakar al-Siddiq di dalam gua Tsur. Mungkin agak pelik bagi anda, jika ana mengatakan bahawa, di dalam masalah ini ana berlainan sekali dengan para pembaca sekalian. Insya Allah, ana akan cuba bongkarkan, apa sebenarnya yang terselindung disebalik kisah yang tersebar ini.

Terlebih dahulu, akan ana perbincangkan berkenaan kisah diatas. Hadits ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad di dalam musnadnya, Ishaq bin Rahawaih, al-Tabrani, Ibn Mardawaih, dan lain-lain. Berkenaan hadits diatas, al-Imam al-Hafiz Ibn Katsir di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah, dan al-Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam al-Fath mengatakan hadits ini hasan. Namun, pendapat ini diperselisihkan dalam kalangan ‘ulama’. Syeikh Ahmad Syakir, di dalam Ta’liqnya terhadap hadits ini, beliau telah mendha’ifkan hadits ini. Hal ini sama dengan Syeikh Nars al-Din al-Albani yang telah mendha’ifkan hadits ini. Bahkan, berdasarkan bukti-bukti yang telah dikemukakan, jelas menunjukkan kedha’ifan hadits ini. Jika kita perhatikan dengan teliti, kita dapati, bahawa hadits ini diriwayatkan oleh ramai Ahli Hadits. Secara keseluruhannya, kesemua riwayat yang menceritakan perihal sarang labah-labah di pintu gua ini, terdapat tiga jalur riwayat, sepertimana yang telah tersebut di dalam kitab Arsyif Multaqa Ahli Hadits.

Riwayat Pertama: Perawi kepada riwayat ini adalah ‘Utsman al-Jazari. Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dan Ishaq bin Rahawaih, di dalam Musnad kedua-duanya. Ibn Mardawaih dan ‘Abd al-Razzaq , di dalam Tafsir mereka berdua, dan al-Tabrani di dalam Mu’jam beliau.

Riwayat Kedua: Perawi kepada riwayat ini adalah Bassyar bin Musa al-Syaibani al-Khaffaf. Ianya diriwayatkan oleh Abu Bakar al-Muruzi, di dalam Musnad Abi Bakr.

Riwayat Ketiga: Perawi kepada riwayat ini adalah Abi Mus’ab al-Makki. Diriwayatkan oleh Ibn Sa’ad di dalam Tabaqaat Ibn Sa’ad, dan juga diriwayatkan oleh al-Bazzar, sepertimana yang terdapat di dalam kitab Kasyf al-Astar.

Demikianlah himpunan daripada riwayat hadits ini. Namun, kesemua riwayat ini adalah tidak shahih. Bahkan, ianya adalah dha’if. Aka nana perincikan satu riwayat demi satu riwayat, agar dapat memahamkan para pembaca akan kedha’ifan kisah ini.

Kecacatan di dalam riwayat pertama: Seperti yang telah ana bawakan, hadits pertama diriwayatkan oleh ‘Utsman al-Jaziri. Beliau merupakan seorang yang dha’if disisi ‘ulama’ hadits. Nama sebenar beliau adalah ‘Utsman bin ‘Amru bin Saj al-Jazari. Al-Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan bahwa beliau seorang yang dha’if. Al-Imam al-Hafiz al-Zahabi menyatakan bahawa, Abu Hatim al-Razi berkata, beliau tidak dijadikan hujjah. Di dalam al-Tahzib menyebut bahawa Abu Hatim berkata, ditulis hadits beliau, tetapi tidak boleh dijadikan hujjah. Al-‘Uqaili berkata, tidak ada tabi’ di dalam hadits beliau. Al-Haitsami berkata, Ibn Hibban menganggap beliau tsiqah, tetapi beliau di dha’ifkan oleh ‘ulama’ selain beliau (Ibn Hibban). Al-Syeikh Ahmad Syakir dan al-Syeikh al-Albani mendha’ifkan beliau. Syeikh Syu’aib al-Arnatut berpendapat bahawa beliau seorang yang dha’if. Bahkan, sekalian ramai lagi yang menganggap bahawa beliau seorang yang dha’if, seperti al-Nasa’i, al-Azdi dan lain-lain.

Kecacatan di dalam riwayat yang kedua: hadits yang kedua, yang tidak ana bawakan disini kerana hampir sama dengan hadits diatas. Di dalam sanad tersebut, terdapa juga perawi yang dha’if, iaitu Bayssar bin Musa al-Syaibani al-Khaffaf. Al-Imam Amir al-Mu’minin fi al-Hadits al-Bukhari berkata, beliau Abu Zur’ah berkata, beliau seorang yang dha’if, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata, beliau seorang yang dha’if, banyak melakukan kesilapan terhadap banyak hadits. Al-Syeikh Muhammad Nasr al-Din al-Albani mengatakan bahawa beliau seorang yang dha’if.

Kecacatan di dalam riwayat yang ketiga: Hadits ini diriwayatkan oleh Abi Mus’ab al-Makki daripada Anas bin Malik. Al-Hasyimi berkata, kami tidak mengetahui akan hadits ini, kecuali daripada hadits Muslim bin Ibrahim daripada ‘Aun daripada ‘Amru al-Qais daripada beliau (Mus’ab). Al-‘Uqaili telah berkata, tiada tabi’ bagi ‘Aun, dan Mus’ab seorang yang majhul (tidak dikenali). Yahya bin Ma’in telah berkata berhubung ‘Aun, beliau seorang yang tiada sesuatu (hadits) pun. Al-Imam al-Bukhari telah berkata, beliau seorang Munkar al-Hadits, lagi tidak dikenali. Al-Hafiz Ibn Katsir berkata, hadits ini (gharib jiddan) tersangat pelik. Al-Albani turut mengkritik beliau.

Jelaslah kepada kita, bahawa hadits berkenaan labah-labah membuang sarang semasa hijrah adalah tidak shahih. Oleh itu, tidaklah sepatutnya bagi kita untuk menyebarkan hadits-hadits yang tidak shahih.

Seterusnya, berhubung peristiwa Saidina ‘Ali mengantikan tempat tidur Baginda Sallallahu’alaihiwasallam semasa peristiwa hijrah. Perhatikanlah, al-Syeikh ‘Abd al-‘Aziz pernah ditanya tentang peristiwa ini. Beliau menjawab: Hadits tersebut tidak shahih, ianya telah diriwayatkan oleh ‘Abd al-Razzaq di dalam buku beliau, dan diriwayatkan juga oleh al-Imam Ahmad di dalam Musnadnya, Ibn Jarir al-Tabari dan al-Tabrani dan selain daripada mereka, melalui hadits ‘Utsman al-Jazari (seperti hadits diatas). Seperti yang telah ana jelaskan di atas, kerana ianya selari dengan hadits yang menyatakan peristiwa sarang labah-labah. Namun, ada satu hal yang ana perhatikan, tetapi tidak pernah pula disebutkan oleh ‘ulama’ yang lain. Iaitu, berkenaan matan tersebut. Jika kita perhatikan dengan terperinci hadits tersebut, ianya menyebutkan bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah berhijrah, namun tidak pula disebutkan Abu Bakar. Sungguh menghairankan, seolah-olahnya, ingin disembunyikan peranan Abu Bakar di dalam peristiwa hijrah. Akan tetapi, diselikkan dengan Saidina ‘Ali, ini berkemungkinan adanya pengaruh Syi’ah, yang cuba mengagung-agungkan Saidina ‘Ali, dan menjatuhkan para sahabat yang lain, lebih-lebih lagi Abu Bakar. Ini ditambah lagi dengan adanya salah seorang daripada perawi tersebut yang dikatakan sebagai Syi’ah, sepertimana yang telah disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar semasa menyebut berkaitan perawi tersebut. Wallahua’lam…



Berikutnya, berkaitan peristiwa dua ekor merpati yang membuat sarang di pintu gua semasa peristiwa hijrah. Adapun berkaitan peristiwa tersebut, tiada sesiapa pun yang mengshahihkannya. Al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd Allah al-‘Ausyan berkata, tidak aku lihat (berdasarkan ilmuku) ada ‘ulama’ yang mengshahihkan peristiwa tersebut.



Penutup, sekian pengakhiran kajian ringkas daripada ana yang serba dha’if ini. Semoga ianya dapat memberikan manfaat kepada setiap umat Islam. Perlulah diingatkan, janganlah kita sewenang-wenangnya menyebarkan cerita, terutama yang berkaitan hal yang bersangkut paut dengan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasalm, sehinggalah kita mengetahui akan keshahihannya. Seterusnya, ana menyeru kepada golongan agamawan, agar perlu senantiasa mengkaji ilmu-ilmu Islam, kerana Allah telah memilih kita untuk memikul tanggungjawab ini, maka perlulah kita teruskan. Begitu juga kepada golongan ‘ulama’ yang menjadi tulang belakang kepada agama Islam kini. Wallallahua’lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan