Imam Malik berkata:

من ابتدع في الإسلام بدعة يراها حسنة فقد زعم أن محمدا صلى الله عليه وسلم خان الرسالة، لأن الله يقول: (اليَومَ أكْمَلْتُ لَكُم دِينَكُمْ) فما لم يكن يومئذ دينا فلا يكون اليوم دينا

Sesiapa yang membuat bid‘ah dalam Islam dan menganggapnya baik maka dia telah mendakwa Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: “Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu”. Apa yang pada hari tersebut tidak menjadi agama, maka dia tidak menjadi agama pada hari ini. al-Syatibi, al-I’tishom, m.s. 35.

Jumaat, 28 Mei 2010

Fikir-Fikirkanlah

Bismillahirrahmanirrahim, ana mulakan kalam ini dengan rasa syukur yang tidak terperinya kepada Allah Ta’ala. Tinta ana yang keseterusnya ini hanyalah sekadar untuk memperbincangkan suatu isu yang cuba diperbesarkan oleh golongan yang tidak memahami maqasid didalam dunia ilmu Islam. Oleh kerana itulah, timbulnya berbagai-bagai fitnah yang cuba dilemparkan kepada sesetengah pihak, bagi menjatuhkan pihak yang lain. Isu ‘wahabi’ ini sudah lama timbul, akan tetapi, semenjak akhir-akhir ini semakin mendadak isu wahabi diperkatakan, terutamanya dinegara kita sendiri, Malaysia.
Pertama-tamanya, ana ingin menegaskan bahawa ana bukanlah wahabi, bahkan bukan juga pengikut Syaikh Muhammad bin ‘Abd al-Wahab. Ana turut termasuk di dalam sebahagian yang tidak bersetuju dengan sebahagian pendapat beliau yang terlalu keras. Namun, bukan bermakna ana membenci beliau, kerana beliau merupakan salah seorang ‘ulama’ yang banyak melakukan pembaharuan di dalam dunia Islam, seperti yang disebut oleh Pro. Dr Yusuf al-Qaradhawi didalam buku beliau, berjudul Fiqh Aulawiyyat. Ana memahami dengan suasana keadaan semasa hidup beliau yang memerlukan beliau bersikap begitu tegas bagi memperbetulkan kehidupan umat Islam agar berpegang dengan al-Qur’an dan al-Sunnah. Namun, ada sebahagian kecil daripada itu tidak lagi sesuai dilaksanakan dengan berubahnya zaman. Walau apa pun, sumbangan beliau perlu diiktiraf oleh umat Islam, bukannya mencaci.
Dewasa ini, masyarakat kita mulai sibuk dengan isu ini. Syaikh Muhammad bin ‘Abd al-Wahab ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan dan cacian. Ini semua adalah perkara yang cukup menduka citakan ana. Kekadang, tohmahan dan cacian tersebut tidak langsung menggambarkan sikap kita sebagai seorang ilmuan Islam. Ana tidak ingin untuk memperjelaskan perihal isu ini, kerana sudah berlambat tulisan yang telah membela Syaikh Muhammad bin ‘Abd al-Wahab. Ana sekadar ingin mengajukan beberapa soalan sebagai renungan kita bersama.
1-Jika anda mengatakan golongan wahabi sesat, adakah anda sudah membaca tulisan-tulisan beliau yang sebenar yang menunjukkan mereka ini sesat? Ataupun anda hanya mendengar daripada mulut kemulut, ataupun melalui tulisan-tulisan yang bukan bersumberkan kitab-kitab mereka? Ana pasti, kebanyakan daripada anda tidak pernah membacanya, bahkan melihatnya pun boleh jadi tidak pernah.
Ana pernah membaca kitab beliau yang di dakwa mengatakan bahawa Allah Ta;ala berjisim. Namun, ana tidak langsung menjumpai seperti yang dituduh oleh sebahagian pihak.
2-Adakah anda mengatakan mereka sesat, hanya kerana mereka tidak mahu menta’wil ayat-ayat mutasyabihat?Ingatlah, Allah tidak meninggalkan umat Islam di dalam keadaan sesat sekiranya mereka berpegang dengan al-Qur’an dan al-Sunnah. Jika benar mereka sesat kerana tidak menta’wil ayat-ayat tersebut, maka Rasulullah lah yang menyebabkan mereka sesat, kerana Baginda tidak memperjelaskan berkenaan ayat tersebut, sebaliknya meninggalkan umat di dalam terkapai-kapai mencari jawaban kerana hal yang berkaitan Allah Ta’ala hanyalah dapat diketahui melalui lisan Baginda Sallallahu’alaihiwasallam. Adakah anda sanggup mengatakan bahawa Rasulullah sebagai punca kesesatan mereka? Adakah anda yang mengaku bermazhab Syafi’ie sejati telah lupa akan kata-kata Imam al-Syafi’ie:
آمنت بالله وبما جاء في كتاب الله على مراد الله، وآمنت برسول الله وبما جاء عن رسول الله على مراد رسول الله صلى الله عليه وسلم
“Aku beriman kepada Allah dan dengan apa yang terkandung didalam kitab Allah (al-Qur’an) sebagaimana yang dikehendaki Allah, dan aku beriman dengan Rasulullah dan dengan apa yang datang daripada Rasululah berdasarkan apa yang Baginda mahukan.”[al-Ta’liqat ‘Ala Syarh Lum’ah al-I’tiqad]
Inilah pendapat golongan Salaf (termasuk al-Imam al-Syafi’ie) berkaitan ayat-ayat mutasyabihat yang sama dengan pandangan golongan wahabi. Ditambah lagi dengan apa yang ditulis oleh Syaikh Fath Yakan di dalam kitab beliau yang berbunyi:
Saya mesti meyakini bahawa pendapat dan pandangan para salaf adalah
lebih utama untuk diikuti supaya dapat menyelesaikan perbahasan
tentang penta'wilan dan pentha'thilan sesetengah ayat suci Al-Quran,
yakni membiarkan sebahagian dari sifat-sifat Allah di dalam Al-Quran
dengan menyerahkan hakikat sebenar mengenai maknanya kepada Allah
s.w.t.
Saya juga mesti meyakini bahawa berbagai bentuk penta'wilan sesetengah
ayat-ayat tertentu oleh golongan khalaf (terkemudian) tidak wajar
dijadikan sebab kepada perselisihan yang berlarutan dan jangan sampai
timbul kembali perbalahan di antara golongan khalaf di masa lampau
mahupun masa kini.
Kenyataannya kini, siapa yang cuba menimbulkan perbalahan? Ana tidak pernah pun melihat golongan wahabi yang bangkit di Malaysia di media massa dengan mengatakan sesat kepada sesiapa yang tidak mengikut pandangan mereka, bahkan pihak anda sendirilah yang mencetuskan kemusykilan dengan mengatakan bahawa pendapat salafi menyeleweng dan sebagainya. Jadi, siapa yang salah?
3-Anda mengatakan bahawa kita wajib mengikut mazhab al-Syafi’e, kerana kita bermazhab al-Syafi’ie. Adakah anda sendiri berpegang dengan mazhab al-Imam al-Syafi’ie seratus peratus? Tentu sekali tidak, kerana banyak perkara yang anda lakukan tidak ada didalam mazhab Syafi’ie. Sebagai contoh, anda menghadiahkan al-Fatihah kepada si mati, sedangkan bagi al-Imam al-Syafi’ie, bacaan al-Qur’an tidak akan sampai kepada si mati, adakah anda mengikut mazhab al-Syafi’ie dalam masalah ini? Di dalam mazhab al-Syafi’ie, tidak diperbolehkan pembayaran zakat fitrah, melainkan dengan makanan asasi, adakah anda berpegangan dengan mazhab al-Syafi’ie di dalam masalah ini? Anda mungkin antara mereka-mereka yang melakukan solat tarawikh dengan lapan rakaat, sedangkan di dalam mazhab al-Syafi’ie adalah dua puluh rakaat. Bahkan, 8 rakaat itu adalah pendapat Syaikh al-Albani yang anda katakan wahabi dan al-Mubarakfuri yang kedua-duanya bukan bermazhab al-Syafi’ie. Dan banyak lagi perkara lain yang anda sendiri tidak ikut. Bagaimana anda melarang seseorang berbuat sesuatu, sedang anda sendiri secara terang-terangan melakukannya?
4-Anda mengatakan mereka menolak mazhab 4. Adakah diwajibkan kepada setiap umat Islam untuk berpegang dengan satu mazhab?Dimanakah dalilnya daripada al-Qur’an dan al-Sunnah? Bukankah ianya boleh menyebabkan umat Islam berpecah, sedangkan Islam menyuruh kita bersatu dengan berpegang dengan al-Qur’an dan al-Sunnah?Perhatikanlah Firman Allah Ta'ala ini:
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا
“Berpeganglah kamu dengan tali Allah semua, janganlah kamu berpecah.”[Surah Ali ‘Imran, ayat 103]
Allah Ta’ala menyuruh kita agar berpegang dengan taliNya. Salah satu pengertian “hablun” adalah kitab Allah, seperti yang dinukilkan oleh al-Mawardi di dalam kitab tafsir beliau.Dan termasuk berpegangan dengan al-Qur’an, adalah berpegang dengan al-Sunnah. Tidak pula disebutkan untuk berpegang dengan mazhab. Bahkan, di dalam ayat tersebut Allah Ta’ala melarang daripada berpecah belah. Bukankah dengan kita mengikut berbagai mazhab ini membawa kepada perpecahan? Itu hanyalah sekadar pandangan ana jika anda mendakwa wajib berpegang dengan mazhab. Namun, yang jelasnya, kebanyakan daripada golongan tersebut berpegang dengan mazhab sebagaimana yang ana pernah tanya kepada sebahagian golongan tersebut. Ada juga sebahagian mereka yang tidak mengkhususkan dengan mana-mana mazhab, namun, mereka masih lagi memilih pandangan di dalam kelompok mazhab yang mana mereka rasakan lebih menyakinkan untuk mereka. Ini tidaklah menjadi suatu kesalahan kepada kita, sememangnya itulah yang dituntut agar kita lebih yakin dan merasakan lebih dekat dengan Allah Ta’ala.
5-Anda mendakwa wahabi sesat kerana tidak membaca qunut? Ada sebahagian masyarakat kita yang tidak mahu bersolat di Masjidil Haram kerana imam tidak membaca qunut. Ini merupakan suatu kejahilan yang cukup jelas timbul dalam masyarakat. Sedangkan solat di Masjidil Haram itu melebihi solat ditempat lain. Alangkah ruginya masyarakat kita yang telah terbang jauh ke Makkah, tiba-tiba tidak mahu mendapat fadhilat solat di Masjidil haram. Apakah punca semuanya ini? Punca adalah kerana masyarakat kita tidak memahami konsep khilaf di dalam Islam, lantaran dihalang untuk menyebutkan perkara khilafiyyah dinegara kita. Hasilnya, kebodohan mengatasi keimana kepada Allah. Ditambah lagi dengan momokan para ustaz kita yang mengatakan imam Makkah adalah wahabi dan wahabi ni sesat. Jika benar imam Makkah itu sesat, maka telah ramailah masyarakat Islam di seluruh dunia tidak sah solatnya, kerana mengikut imam yang tidak betul aqidahnya.
6-Adakah anda mengatakan mereka sesat, kerana mereka melarang daripada melakukan bid'ah? terlebih dahulu, perlu anda ketahui pengertian bid'ah dari segi bahasa, iaitu suatu 'amalan yang menyerupai ajaran Islam yang dilakukan dengan harapan mengharapkan taqarrub kepada Allah.
Anda mungkin mengatakan, apa salahnya melakukan bid'ah, kerana ianya sesuatu yang baik?Jika kita rujuk kitab usul fiqh, ini semua termasuk didalam al-Istihsan, bukankah di dalam mazhab Syafi'ie tidak memperbolehkan dengan usul tersebut. Mazhab al-Syafi'ie tidak menerima konsep al-Istihsan, bagaimana pula anda yang mendakwa wajib mengikut mazhab al-Syafi'ie, telah terkeluar daripada mazhab al-Syafi'ie, tidakkah ianya berdosa bagi anda?Ingatlah, berpuluh-puluh hadits yang menegah daripada melakukan bid'ah di dalam urusan ibadah, kerana yang menemtukan ibadah dan yang memberikan ganjaran terhadap sesuatu ibadah adalah Allah. Adakah anda ingin mengantikan tempat Allah. Tidakkah anda fikir akan sejarah hidup Baginda sallallahu'alaihiwasallam? Sesuatu ibadah yang akan difardhukan oleh Allah, hanya dilakukankan oleh umat Islam setelah turunya perintah oleh Allah. Mengapa Nabi tidak melakukan sendiri, tanpa perlu menunggu wahyu daripada Allah Ta'ala?Sedangkan Baginda lah yang paling arif daripada kalangan manusia akan agama islam dan yang paling tahu apa yang terbaik untuk kita. Sebagai contoh, Rasulullah tidak pernah pun menyuruh para sahabat bersolat, sehinggalah turunnya perintah daripada Allah. Adakah anda lebih faham akan agama Islam mendahului Rasulullah?Jika anda menganggap agama ini belum selesai, maka, anda telah menganggap bahawa Nabi telah melakukan khianat didalam agama kerana tidak menyampaikan agama Islam dengan sepenuhnya. Ingatlah akan pesanan Imam Malik;
من ابتدع في الإسلام بدعة يراها حسنة فقد زعم أن محمدا صلى الله عليه وسلم خان الرسالة، لأن الله يقول: (اليَومَ أكْمَلْتُ لَكُم دِينَكُمْ) فما لم يكن يومئذ دينا فلا يكون اليوم دينا
Sesiapa yang membuat bid‘ah dalam Islam dan menganggapnya baik maka dia telah mendakwa Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: “Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu”. Apa yang pada hari tersebut tidak menjadi agama, maka dia tidak menjadi agama pada hari ini. al-Syatibi, al-I’tishom, m.s. 35.
Wahai para pembaca, nilailah kembali pandangan anda, fikirkanlah apakah akibatnya jika anda beri’tiqad bahawa wahabi itu sesat. Ini beerti anda telah menyesatkan sekian ramai umat Islam diseluruh dunia. Bahkan, anda turut menyesatkan sekian ramai para ‘ulama’ secara tidak langsung. Termasuklah ‘ulama’ itu, Pro. Yusuf al-Qaradhawi sendiri, Dr. Fathi Yakan. Dr. Wahbah Zuhaili dan sekian ramai lagi. Ana menyeru, kita perbetulkanlah I’tiqad kita, agar kita tidak mudah menyesatkan mereka-mereka yang berada dijalan yang benar, apalagi mengkafirkan mereka. Wallahua’lam…[Dipetik daripada web ana di http://prosunnah.webs.com ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan