Imam Malik berkata:

من ابتدع في الإسلام بدعة يراها حسنة فقد زعم أن محمدا صلى الله عليه وسلم خان الرسالة، لأن الله يقول: (اليَومَ أكْمَلْتُ لَكُم دِينَكُمْ) فما لم يكن يومئذ دينا فلا يكون اليوم دينا

Sesiapa yang membuat bid‘ah dalam Islam dan menganggapnya baik maka dia telah mendakwa Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: “Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu”. Apa yang pada hari tersebut tidak menjadi agama, maka dia tidak menjadi agama pada hari ini. al-Syatibi, al-I’tishom, m.s. 35.

Selasa, 30 Mac 2010

Syarah Shahih al-Bukhari

Kitab Shahih al-Bukhari diakui sebagai sebuah shahih di sisi Ahli al-Sunnah wa al-Jama'ah. Pelbagai keajaiban yang tersembunyi di dalam Kitab Jami' ini, sehinggakan dikatakan bahawa kitab tersebut merupakan kitab yang paling shahih selepas al-Qur'an al-Karim. Ini diakui oleh para pengkaji dan penuntut ilmu hadits. Ini terbukti dengan kepelbagaian ilmu yang terhimpung di dalam kitab tersebut. Oleh kerana itulah, lahirnya teramat banyak sekali kitab yang mensyarahkan kitab tersebut.
Penulis Kitab Kasyf al-Zhunun berkata bahawa kitab-kitab yang mensyarahkan kitab al-Bukhari menjangkau 82 kitab syarah.
Salah seorang muhaddits yang terkemuka, al-'Allamah Muhammad Zakaria al-Kandahlawi di dalam muqaddimah kitab syarah beliau mengatakan bahawa terdapat lebih 131 kitab syarah bagi Shahih al-Bukhari.
Seorang 'ulama' hadits semasa di Kelantan, Maulana Mohammad 'Asri Bin Yusof mengatakan, terdapat lebih seratus kitab yang mensyarahkan Shahih al-Bukhari.
Begitulah banyaknya kitab yang mensyarahkan kitab shahih tersebut. Ini menunjukkan, bahawa kelebihan ilmu yang ada pada kitab tersebut amat luas, sehingga usaha mencari galinya berterusan. Disini ana akan memperkenalkan sebahagian daripada kitab-kitab syarah tersebut yang masyhur dalam kalangan ahli ilmu. Antaranya:
1-al-Kawakib al-Darari fi Syarh Shahih al-Bukhari ataupu dikenali juga sebagai Syarh al-Kirmani 'ala Shahih al-Bukhari yang ditulis oleh al-'Allamah Syams al-Din Muhammad bin Yusuf bin 'Ali bin Sa'id al-Kirmani, meninggal dunia pada tahun786 H.


2-Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari yang dikarang oleh Syaikh al-Islam al-Hafiz Ahmad bin 'Ali bin Muhammad bin 'Ali, ataupun lebih dikenali sebagai Ibnu Hajar al-'Asqalani, meninggal dunia pada tahun 852 H.




3-'Umdah al-Qari fi Syarh al-Bukhari, hasil karya al-'Allamah badr al-Din Abi Muhammad Mahmud bin Ahmad al-'Aini, meninggal dunia pada tahun 855 H.








4-Irsyad al-Sari ila Sarh Shahih al-Bukhari hasil penulisan al-Syaikh Syihab al-Din Ahmad Muhammad al-Khatib al-Qasthalani, meninggal dunia pada tahun 922 H.







5-Lami' al-Darari 'ala Jami' al-Bukhari, ditulis oleh seorang muhaddits yang agung, iaitu Muhammad Zakaria al-Kandahlawi. Kitab ini disarankan Lajnah al-Hadits al-Nabawi al-Jami'ah bagi Universiti al-Azhar, Mesir sebagai kitab yang paling elok untuk penuntut diperingkat asas untuk mempelajari kitab Shahih al-Bukhari.
Alhamdulillah, kesemua kita ini berada di dalam simpanan ana, kecuali dua kitab, yang pertama dan yang terakhir. Ini kerana, harga kitab pertama amat mahal, dalam lingkungan 500 lebih. setelah diskaun. Manakala, kitab kelima pula tidak dapat ana temui di maktabah-maktabah di Mesir ini. Kitab tersebut asalnya di dalam Bahasa Urdu, setebal 2 jilid. Namun, setelah diterjemah kedalam Bahasa Arab, ianya mencapai 10 jilid.
Inilah antara kitab-kitab Syarah al-Bukhari yang paling masyhur dan disarankan oleh para ilmuan untuk dimiliki dan dipelajari. Semoga Allah memberikan kepada kita semua kesempatan waktu untuk sama-sama kita mempelajari kitab yang dikatakan kedua paling ajaib di dunia setelah al-Quran al-Karim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan