Imam Malik berkata:

من ابتدع في الإسلام بدعة يراها حسنة فقد زعم أن محمدا صلى الله عليه وسلم خان الرسالة، لأن الله يقول: (اليَومَ أكْمَلْتُ لَكُم دِينَكُمْ) فما لم يكن يومئذ دينا فلا يكون اليوم دينا

Sesiapa yang membuat bid‘ah dalam Islam dan menganggapnya baik maka dia telah mendakwa Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: “Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu”. Apa yang pada hari tersebut tidak menjadi agama, maka dia tidak menjadi agama pada hari ini. al-Syatibi, al-I’tishom, m.s. 35.

Selasa, 30 Mac 2010

Bolehkah ber’amal dengan hadits-hadits dha’if?


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ الحمد لله, نحمده ونستعينه, ونستغفره, ونعوذ بالله من شرور أنفسنا, ومن سيئات أعمالنا, من يهدى الله فلا مضل له, ومن يضلل فلا هادي له, وأشهد أن لا اله إلا لله وحده لا شريك له, وأشهد أن محمدا عبده ورسوله, أما بعد:
Ijma’ para ‘ulama’ bahawa hadits dha’if tidak boleh dijadikan landasan dan hujjah di dalam perkara-perkara ‘aqidah, hukum-hakam termasuk dalam penentuan hukum halal dan haram. Ini berdasarkan pandangan ‘umum ‘ulama’-‘ulama’ Islam. Namun, keharusan ber’amal dengan hadits dha’if menjadi perselisihan dalam kalangan ‘ulama’. Malah, ada tokoh-tokoh terbilang seperti Yahya bin Ma’in, Abu Bakar Ibnu ‘Arabi, dan zhahir mazhab Imam al-Bukhari, Muslim dan ia juga merupakan mazhab Ibnu Hazm rahimahumullah. ‘Ulama’-‘ulama’ ini berpendapat bahawa tidak boleh ber’amal dengan hadits dha’if secara muthlaq. Jesteru, al-‘Alamah Syeikh Nasr al-Din al-Albani pernah menulis: “Kami menasihati saudara-saudara seIslam kami di Timur mahupun di Barat, agar meninggalkan daripada ber’amal dengan hadits dha’if sama sekali. Malah, mengarahkan hemat mereka agar mereka ber’amal dengan perkara-perkara yang tsabit daripada hadits Nabi s.a.w, yang memadai daripada hadits-hadits dha’if. Sekaligus dapat menjadi penyelamat daripada terjerumus kelembah pendustaan terhadap Rasulullah s.a.w.” Menerusi tulisan al-Albani Ini, dapat disimpulkan bahawa beliau sendiri menggesa seluruh umat Islam di setiap pelusuk dunia supaya meninggalkan daripada ber’amal dengan hadits-hadits dha’if secara muthlaq. Ini kerana, sudah cukup bagi kita untuk ber’amal dengan hadits-hadits yang shahih yang warid dan diwarisi daripada Nabi s.a.w melalui jalan yang diyakini. Ini dapat mengelakkan umat Islam daripada tergelincir sehingga melakukan pendustaan terhadap terhadap Rasulullah s.a.w sekiranya umat Islam terlalu bergantung dengan hadits-hadits dha’if. Rasulullah s.a.w melarang secara muthlaq mereka-mereka yang sengaja berdusta terhadap Baginda s.a.w. Sabda Rasulullah s.a.w:
حدثنا علي بن الجعد: أخبرنا شعبة قال: أخبرني منصور قال: سمعت ربعي بن جراش يقول: سمعت عليا يقول:
قال النبي صلى الله عليه وسلم: (لا تكذبوا علي، فإنه من كذب علي فليلج النار).
“’Ali bin Abi Thalib berkata, “Nabi s.a.w bersabda”: “Janganlah kamu berdusta di atas namaku, kerana orang yang berdusta atas namaku akan masuk neraka.”[Hadits Shahih riwayat al-Bukhari] Namun begitu, terdapat ‘ulama’ yang membolehkan ber’amal dengan hadits-hadits dha’if. Meskipun begitu, penggunaan hadits dha’if sebagai ‘amalan hanyalah terbatas di dalam bab fadhail a’mal sahaja. Hal ini telah masyhur dalam kalangan ahli ‘ilmu dan penuntut-penuntutnya. Mereka menyangka tidak ada sebarang khilaf di dalam masalah ini. Bagaimana tidaknya, sedangkan Imam al-Nawawi rahimahullah sendiri telah menukilkan tentang kesepakatan berkenaan perkara ini di dalam lebih daripada sebuah kitab-kitabnya. Namun, nukilan beliau ini perlu diteliti dan dikaji, kerana khilaf dalam masalah ini ma’lum. Bahkan sebahagian ‘ulama’ muhaqqiq berpendapat bahawa hadits-hadits dha’if tidak boleh di’amalkan langsunng, baikk dalam bab hukum-hakam mahupun dalam bab fadhail a’mal. Antara ‘ulama’ yang dikatakan membolehkan ber’ama dengan hadits dha’if dallam bab fadhail ‘amal adalah seperti Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, pengarang kepada kitab Bulughul Maaran, Fathu al-Bahri, al-Ishabah, Lisan al-Mizan dan lain-lain. Tetapi, yang sebenarnya adalah, beliau sendiri menolak pendapat yang mengatakan boleh ber’amal dengan hadits dha’if dalam bab fadhail ‘amal. Buktinya, beliau meletakkan syarat-syarat yang penting untuk membolehkan ber’amal dengannya yang mana jika benar-benar diikuti hampir sahaja tidak membolehkannya langsung. Antara syarat-syarat yang digariskan oleh Ibnu Hajar rahimahullah adalah: I. Kedha’ifan yang tidak terlalu kuat dan teruk. II. Ianya termasuk dibawah prinsip atau dalil yang di’amalkan. III. Tidak boleh yakin tentang tsabitnya ketika ber’amal dengannya, bahkan mesti berhati-hati (tidak boleh beri’tiqad bahawa ianya adalah benar-benar daripada Rasulullah s.a.w). Berikut merupakan huraian daripada syarat-syarat beliau di atas: · Hadits tersebut tidaklah merupakan hadits maudu’. · Hendaklah orang yang ber’amal dengannya mengetahui bahawa ianya adalah hadits dha’if. · Tidak menyebarkan ‘amalannya dengan hadits dha’if tersebut. · Dha’ifnya tidaklah terlalu lemah dan bukanlah diriwayatkan oleh seorang pendusta, perawi yang dituduh berdusta ataupun perawi yang telah banyak melakukan kesilapannya. · Hadits tersebut termasuk di bawah asal yang ‘am (dalam syara’), bukanlah yang tidak ada asalnya langsung. · Pengamalnya tidak beri’tiqad dengan kebenaran hadits tersebut supaya tidak menasabkannya kepada Rasulullah s.a.w apa yang tidak disabdakan oleh Baginda s.a.w. Berdasarkan syarat-syarat yang telah dikemukakan oleh Ibnu Hajar tadi, pastinya kita tidak mampu untuk memahaminya secara mendalam. Oleh itu, Syeikh Nasr al-Din al-Albani rahimahullah telah membuat ulasan kepada syarat-syarat tersebut. Berkata Syeikh Albani setelah beliau mengemukakan syarat-syarat ber’amal dengan hadits-hadits dha’if yang digariskan oleh Ibnu Hajar: “Dan syarat-syarat ini sangat mendalam maknanya dan penting sekali, jika diiltizamkan oleh para pengamal hadits dha’if, nescaya natijahnya adalah ruang untuk meng’amalkannya menjadi sempit atau tidak memungkinkannya langsung.” “Dan penerangan serta ulasan beliau terdiri daripada tiga asas yang utama, iaitu:” Pertama: “Syarat pertama menunjukkan bahawa wajib mengetahui hal ataupun keadaan hadits yang ingin di’amalkannya, supaya dapat mengelakkan daripada ber’amal dengannya jika kedudukannya sangat dha’if sekali.” “Dan untuk mengetahui keadaan hadits ini adalah sangat sukar sekali terutamanya buat kebanyakan orang dalam meng’amalkan setiap hadits dha’if kerana kurangnya ‘ulama’ hadits, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang (dan orang yang ‘alim tentang menghukum taraf sesuatu hadits hampir berkurangan pada zaman sekarang), dan yang dimaksudkan ialah ahli tahqiq yang tidak menceritakannya kepada orang ramai, melainkan dengan yang tsabit daripada hadits Rasulullah s.a.w yang memberitahu mereka akan hadits-hadits dha’if dan mewaspadakan mereka daripadanya, bahkan mereka ini lebih sedikit daripada segelintir.” “Beliau melanjutkan setelah membawa beberapa contoh ‘ulama’ yang meriwayatkan atau meng’amalkan hadits dha’if tanpa meneliti kedudukan dha’ifnya, dengan alasan hadits tersebut bukanlah dalam bab hukum-hakam, tetapi ianya hanya dalam bab fadhail a’mal, lalu ternyata hadits-hadits tersebut jelas dusta dan maudhu’.” Kesimpulannya, iltizam dengan syarat ini membawa kepada meninggalkan daripada ber’amal dengan hadits dha’if yang tidak tsabit sama sekali, sekarang sukarnya untuk mengenal pasti dha’if yang sangat lemah dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Kedua: “Hendaklah hadits dha’if itu termasuk asal yang ‘am. Syarat ini menunjukkan bahawa, pada hakikatnya ‘amalan tersebut bukanlah berdasarkan haidts dha’if itu sendiri, tetapi ianya mestilah ada asalnya yang ‘am. Sedangkan amal dengannya telah ada dan warid sama ada wujud hadits dha’if ataupun tidak, bukan sebaliknya.” Ketiga: “Syarat ketiga adalah, peng’amalnya tidak boleh beri’tiqad dengan kebenaran hadits tersebut. Hal ini bertemu dengan syarat pertama, di mana wajib mengetahui tentang kelemahannya, supaya tidak dii’tiqadkan keshahihannya.” Namun begitu, terdapat juga di antara mereka-mereka yag berpendapat boleh ber’amal dengan hadits dha’if dalam bab fadha’il ‘amal dengan menggunakan hujjah berdasarkan kata-kata Imam Ahmad bin Hanbal dan ‘Abd Allah Ibnu al-Mubarak, iaitu: “Dan apabila sesuatu yang diriwayatkan berkaitan dengan halal dan haram, kami akan menyelidiki riwayat tersebut dengan tasyaddud (tegas), tetapi, jika ianya berkaitan dengan fadhail a’mal, maka kami akan lebih berlembut dan terbuka.” Bagi mereka yang tidak memahami selok-belok tentang ‘ilmu hadits, pastinya kata-kata kedua Imam tadi menjadi hujjah yang dipegang sebenar-benarnya. Namun, sekiranya kita selidiki kata-kata tersebut, dengan yakin kita akan mengatakan bahawa kedua Imam tersebut tidak pun berpendapat boleh ber’amal dengan hadits dha’if, walaupun di dalam bab fadhail a’mal. Kata-kata tersebut telah pun diperjelaskan oleh seorang Muhaddits kontemporari, Syeikh Ahmad Syakir, bahawa yang dimaksudkan lebih berlembut dan terbuka tidaklah bermaksud dengan menerima hadits dha’if tersebut, tetapi yang mencapai darjat hadits hasan. Ini kerana jelas pada zaman beliau tentang qa’edah di dalam menilai sesuatu riwayat. Malah, perbahasan di antara peng’amalan hadits dha’if dalam ‘amal adala tida wujud sama sekali pada zaman mereka. Ini kerana mereka sibuk di dalam menitikberatkan tentang hadits-hadits yang shahih. Syeikh Ahmad Syakir juga pernah berkata: “Tiada perbezaan antara hukum-hakam dan fadhail a’mal, dan selainnya dalam tidak mengambil riwayat yang dha’if, bahkan tiada hujjah bagi sesiapa pun, kecuali dengan apa yang shahih daripada Nabi s.a.w iaitu daripada hadits-hadits yang shahih ataupun hasan.” Malah, di antara faktor utama yang membawa kepada kesesatan dan penyelewengan daripada sunnah Nabi s.a.w dan ‘aqidah yang shahih adalah kerana berhujjah dengan hadits-hadits serta khabar yang dha’if, dengan perkhabaran di dalam perkara-perkara uluhiyyah, al-Shifat dan seumpamanya. Kesimpulannya, seharusnya kita sebagai umat Nabi s.a.w yang mengakui kecintaan dan keta’atan kepada Baginda s.a.w lebih berhati-hati di dalam meng’amalkan hadits-hadits dha’if di dalam kehidupan seharian. Sudah cukup bagi kita untuk berpegang dengan apa yang tsabit dan shahih daripada Rasulullah s.a.w sebagai ‘amalan di dalam kehidupan ini. Ini bertujuan, mengelakkan kita daripada terjerumus kelembah dan perkara-perkara yang boleh membawa kepada pendustaan terhadap Rasulullah s.a.w dan tidak termasuk kedalam golongan yang dijanjikan oleh Baginda s.a.w dengan ‘azab neraka jahannam. Di dalam perbincangan ini tidak disebutkan perihal hadits maudu’, kerana ianya sudah ma’lum tentang keharamannya. Wallahua’lam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan