Imam Malik berkata:

من ابتدع في الإسلام بدعة يراها حسنة فقد زعم أن محمدا صلى الله عليه وسلم خان الرسالة، لأن الله يقول: (اليَومَ أكْمَلْتُ لَكُم دِينَكُمْ) فما لم يكن يومئذ دينا فلا يكون اليوم دينا

Sesiapa yang membuat bid‘ah dalam Islam dan menganggapnya baik maka dia telah mendakwa Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: “Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu”. Apa yang pada hari tersebut tidak menjadi agama, maka dia tidak menjadi agama pada hari ini. al-Syatibi, al-I’tishom, m.s. 35.

Ahad, 11 April 2010

Bukti dan Kenyataan




Bismillahirrahmanirrahim, segala tanda kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi Rabb al-Izzati, kerana dengan kesempatan ruang dan masa yang diberi, dapat penulis menyiapkan risalah yang serba ringkas ini untuk dipersembahkan kepada para pembaca sekalian. Alhamdulillah, kita masih lagi dihidupkan untuk sama-sama kita mengharungi perjalanan di dunia ini. Juga dapat lagi kita bersua dengan bulan yang penuh barakah, kerana padanya diturunkan suatu syari’at yang difardhukan keatas setiap mukallaf iaitu solat. Peristiwa pada bulan Rajab ini dirakamkan sendiri oleh Allah Ta’ala di dalam al-Qur’an al-Karim. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj merupakan suatu peristiwa yang ma’ruf dalam kalangan umat Islam. Ini antara salah satu mu’jizat Rasulullah sallahu’alaihiwasallam. Peristiwa ini melakarkan perjalanan Nabi Muhammad sallahu’alaihiwasallam bermula daripada rumah Ummu Hani’ membawa kepada Masjid al-Aqsa di Palestin. Begitulah kisah yang sering kedengaran di kuliah-kuliah, mahupun ceramah-ceramah ketika menyambut peristiwa tersebut. Namun, adakah kita pasti akan keshahihan kisah tersebut, bahawa ianya bermula daripada rumah Ummu Hani’???. Inilah maqasid penulisan risalah yang serba ringkas ini, sebagai satu perbincangan berbentuk ‘ilmiah berdasarkan kajian-kajian yang telah dibuat. Risalah ini merupakan cetusan daripada hasil karya sebuah buku bertajuk “Fakta-Fakta Sirah Yang Perlu Dikaji Semula, Di antara ‘Ulama’Ahli Sunnah, Di dalam Membasmi Propaganda ‘Ulama’ Syi’ah” oleh Muhammad Zulfadhli bin Mohd Razi. Risalah ini merupakan ringkasan daripada pperbincangan yang tersebut di dalam buku tersebut. Pengkajian ini adalah melalui 6 usul umum yang disebutkan bagi memastikan kualiti sesuatu cerita yang sampai kepada kita, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan Rasulullah. Berbalik kepada skop perbincangan ini, penulis akan mengfokuskan siri kajian ringkas ini kepada salah satu riwayat sirah yang bercanggah dengan usul-usul yang telah digariskan oleh para ‘ulama’. Disini, penulis akan terus kepada skop perbincang, iaitu percanggahan riwayat Isra’ Nabi yang bermula daripada rumah Ummu Hani’ dengan 6 usul dan kaedah umum yang penulis ringkaskan sendiri. Usul-usul tersebut adalah:
1. Bercanggah dengan al-Quran al-Karim.
2. Bercanggah dengan Hadits yang shahih.
3. Riwayat yang tidak masuk akal.
4. Bercanggah dengan a-Tarikh.
5. Riwayat yang mencela Nabi dan Para Sahabat Nabi s.a.w.
6. Diriwayatkan oleh perawi yang diTarjikan oleh para ‘ulama’.
Riwayat ini masyhur tersebar dan diceritakan sendiri di dalam kitab-kitab sirah dan tafsir dengan lafaz yang berbeza dan perawi-perawi yang berbeza. Berikut merupakan nukilan Ibnu Hisyam daripada Ibnu Ishaq berhubung peristiwa Isra’ Baginda s.a.w:
[حديث أم هانيء عن مسراه صلى الله عليه وسلم]
قال محمد ابن اسحاق:وكان فيما بلغني عن أم هانيء بنت أبي طالب رضى الله عنها,واسمها هند,فى مسرى رسول الله صلى الله عليه وسلم أنها كانت تقول ما أسري برسول الله صلى الله عليه وسلم الا وهو فى بيتي,نام عندي تلك الليلة فى بيتي,فصلى العشاء الاخرة ثم نام ونمنا,فلما كان قبيل الفجر أهبنا رسول الله صلى الله عليه وسلم فلما صلى الصبح و صلينا معه قال يا أم هانيء لقد صليت معكم العشاء الآخرة كما رأيت بهذا الوادي,ثم جئت بيت المقدس فصليت فيه ثم قد صليت صلاة الغداة معكم الآن كما ترين ثم قام ليخرج فأخذت بطرف ردائه فتنكشف عن بطنه كأنه قبطة مطوية فقلت له يا نبي الله لا تحدث بهذا الناس فيكذبوك ويؤذوك,قال والله لأحدثنهموه.قالت فقلت لجارية لي حبشية ويحك اتبعي رسول االله صلى الله عليه وسلم حتى تسمعي ما يقول للناس وما يقولون له.فلما خرج رسول الله صلى الله عليه وسلم الى الناس أخبرهم فعجبوا وقالوا:ما آية ذلك يا محمد؟فانا لم نسمع بمثل هذا قط؛قال آية ذلك أني مررت بعير بني فلان بوادي كذا وكذا.فأنفرهم حس الدابة فندلهم بعير فدللتهم عليه وأنا موجه الى الشام.ثم أقبلت حتى اذا كانت بضجنان مررت بعير فلان فوجدت القوم نياما.ولهم اناء فيه ماء قد غطوا عليه بشيء فكشفت غطاءه وشربت ما فيه [ص 453] كان؟وآية ذلك أن عيرهم الآن يصوب من البيضاء ثنية التنعيم يقدمها جمل أورق عليه غرارتان احداهما سوداء والأخرى برقاء.قالت فابتدر القوم الثنية فلم يلقهم أول من الجمل كما وصف لهم وسألوهم عن الاناء فأخبروهم أنهم وضعوه مملوءا ماء ثم غطوه وأنهم هبوا فوجدوه مغطى كما غطوه ولم يجدوا فيه ماء.وسألوا الآخرين وهم بمكة, فقالوا:صدق والله لقد أنفرنا فى الوادي الذي ذكر وندلنا بعير فسمعنا صوت رجل يدعونا اليه حتى أخذناه.
“Ibnu Ishaq berkata: “Antara kisah yang sampai kepada saya daripada Ummu Hani’ binti Abu Thalib berhubung dengan Isra’ Rasulullah s.a.w ialah beliau menceritakan, “Rasulullah s.a.w tidak diIsra’kan melainkan ketika Baginda s.a.w berada di rumahku.Baginda s.a.w tidur di sampingku pada malam itu di rumahku.Mula-mula Baginda s.a.w bersembahyang ‘Isya’ kemudian tidur.Kami pun turut tidur.Sebelum fajar,Rasulullah s.a.w telah pun mengejutkan kami untuk solat Subuh.Kami pun bersembahyang bersama Baginda s.a.w.”
Setelah itu, Baginda berkata: “Wahai Ummu Hani’!Malam tadi saya telah bersembahyang bersama kamu seperti yang kamu tahu di Wadi ini.Setelah itu saya telah pergi ke Baitul al-Maqdis dan bersembahyang di sana dan sekarang saya bersembahyang Subuh bersama kamu seperti yang kamu saksikan.”
Setelah itu Rasulullah s.a.w bangkit lalu keluar.Aku pun memegang hujung kain selimut Baginda s.a.w,maka tersingkap perut Nabi s.a.w bagaikan kain qibthi yang berlipat,lalu aku pun berkata kepada Nabi s.a.w. “Wahai Nabiyallah!Janganlah engkau ceritakan perkara ini kepada orang ramai,nanti mereka akan mendustakan engkau dan menyakitimu.”Baginda s.aw. berkata. “Demi Allah!Aku tetap akan menceritakannya kepada mereka. ”Ummu Hani’ berkata. “Aku pun memerintahkan seorang sahaya perempuanku berketurunan Habsyi. “Eh!Ikutlah Rasulullah s.a.w supaya engkau dapat mendengar apa yang disampaikannya kepada orang ramai dan apa pula reaksi mereka terhadap keterangan Baginda s.a.w itu.”
Bila Rasulullah s.a.w keluar kepada orang ramai,Baginda terus menceritakan kepada mereka .Mendengarkan cerita Baginda s.a.w itu, mereka kehairanan lalu bertanya, “Apakah bukti kepada keteranganmu itu, wahai Muhammad? Sesungguhnya kami tidak pernah mendengar cerita seumpama ini……[ Lihat Sirah Ibnu Hisyam,jld.1,hlm.402].
Berikut adalah apa yang terkandung di dalam riwayat Ibnu Hisyam mengenai peristiwa Isra’ Baginda s.a.w. Jika dilihat sekali imbas, tiada apa pun yang aneh mengenai kisah tersebut. Ini kerana, kisah inilah yang selalunya disajikan kepada kita apabila tibanya bulan Rejab, bagi menggambarkan perihal keadaan Isra’ Mi’raj Baginda s.a.w. Namun, tahukah kita, disebalik kisah tersebut, terselindung suatu kemusykilan? Insya Allah, penulis ,dengan rasa dha’ifnya akan cuba membongkarkan kemusykilan yang terselindung disebalik kisah tersebut berdasarkan 6 usul umum yang penulis telah kemukakan sebelum ini.
Usul Pertama: Bercanggah dengan al-Qur’an al-Karim
Dalam peristiwa tersebut, menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w diIsra’kan di rumah Ummu Hani’.Bukankah ini bercanggah dengan ayat di dalam al-Quran yang berbunyi:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آَيَاتِنَا..الخ (1)
“Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambanya pada waktu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang mana Kami telah berkati sekelilingnya supaya Kami perlihatkan kepadanya akan tanda-tanda kekuasaan Kami.”[ Surah al-Isra’,ayat 1].
Bukankah ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa permulaan Isra’ Baginda s.a.w adalah dari Masjid al-Haram, bukannya dari rumah Ummu Hani’ seperti yang disebutkan dalam riwayat Sirah di atas. Penggunaan kalimah Masjid al-Haram merupakan kata yang khusus, menunjukkan Isra’ bermula di Masjid al-Haram sendiri.Adakah rumah Ummu Hani’ berada di dalam Masjid al-Haram? Sudah tentu tidak,kerana tiada sesiapa pun yang menyatakan sedemikian.Oleh itu,bagaimanakah kita hendak menyatakan Isra’ Baginda s.a.w bermula dari rumah Ummu Hani’? Jika dilihat dari segi bahasa pula, penggunaan lafaz (من) mengikut kaedah bahasa Arab menunjukkan kepada (لابتداء الغاية) bermulanya sesuatu pada sesuaut u matlamat. Bagaimanakah boleh dikatakan ianya bermula daripada rumah Ummu Hani’, sedangkan bercanggah dengan al-Qur’an sendiri.
Usul Kedua: Bercanggah dengan Hadits yang Shahih.
Riwayat tersebut juga bercanggah dengan sebuah hadits yang shahih riwayat al-Bukhari.
حدثنا هدبة بن خالد حدثنا همام بن يحي حدثنا قتادة عن أنس بن مالك عن مالك بن صعصعة رضي الله تعالى عنهما أخبرنا أن النبي صلى الله عليه وسلم حدثهم عن ليلة أسري به بينما أنا فى الحطيم وربما قال فى الحجر مضطجعا...الخ
“Daripada Malik bin Sha’sha’ah r.a menceritakan bahawa sesungguahnya Nabi s.a.w telah menceritakan kepada mereka tentang malam yang mana Baginda diIsra’kan. “Adalah aku(Rasulullah)ketika itu berada di Hatim atau boleh jadi di Hijir…[ Diriwayatkan oleh al-Bukhari,Bab al-Mi’raj dalam Kitab Manaqib al-Anshar,Muslim meriwayatkannya dalam Kitab al-Imam daripada Musa,al-Tarmizi meriwayatkannya dalam Kitab al-Tafsir daripada Muhammad bin Basyar,dan daripada Ibnu Abi ‘Adi,al-Nasai meriwayatkannya dalam Kitab al-Solat daripada Ya’qub bin Ibrahim.]
Hadits ini menjadi penjelas kepada ayat al-Quran yang menyebut Nabi s.a.w telah diIsra’ dari Masjid al-Haram.Di dalam hadits ini dengan jelas menyatakan tempat Nabi s.a.w diIsra’kan, iaitu satu kawasan di dalam Masjid al-Haram, sama ada di Hatim ataupun di Hijir. Walaupun terdapat syak yang berpunca daripada Qatadah, namun, kedua-dua kawasan tersebut terletak di dalam Masjid al-Haram. Inilah sebagaimana yang tersebut di dalam al-Quran, permulaan Isra’ Baginda s.a.w adalah dari Masjid al-Haram. Memang inilah salah satu daripada sifat-sifat hadits yang shahih, yang mana ianya tidak bercanggah dengan ayat-ayat al-Quran.
Usul Ketiga: Diriwayatkan oleh perawi yang diTarjikan oleh para ‘ulama’.
Berdasarkan method pengajian ‘ilmu hadits, keshahihan sesuatu cerita itu dinilai berdasarkan sanad. Usul yang ketiga ini akan membahaskan serbasedikit berkenaan sanad di dalam riwayat ini. Berikut merupakan sanad daripada beberapa buah kitab sirah:
1-Berkata Muhammad bin Ishaq, telah menceritakan kepadaku Muhammad bin al-Sa’ib al-Kalbi daripada Abi Shalih Bazan daripada Ummu Hani’…[Lihat Tafsir Ibnu Katsir dan al-Isra’ wa al-Mi’raj dan al-Khasais al-Kubra oleh al-Suyuti].
2-Ibnu Hisyam menukilkannya dengan menyebut Ibnu Ishaq dengan riwayat yang sampai kepada Ummu Hani’, sepertimana yang tersebut di dalam kebanyakan kitab-kitab sirah yang lain seperti Kitab Sirah ibnu Katsir, al-Bidayah wa al-Nihayah, dan selainnya.
Di dalam sanad yang pertama, ianya diriwayatkan oleh Muhammad bin al-Sa’ib al-Kalbi. Beliau merupakan seorang yang sempat hidup bersama Tabi’in. Berbagai pendapat para ‘ulama’ berkenaan keadaan beliau. Berikut merupakan pendapat para ‘ulama’ berkenaan beliau:
1- Al-Suyuti mengatakan beliau adalah seorang yang matruk dan seorang yang dituduh sebagai pendusta, serta turut dituduh sebagai seorang yang berfahaman Rafidhah (Syi’ah yang melampau).[ al-Isra’ wa al-Mi’raj oleh al-Suyuti, Dhu’afa’ al-Bukhari dan Dhu’afa al-Nasa’ie].
2- Al-Hafiz Ibn al-Hajar berkata beliau dikhuatiri sebagai seorang yang dusta dan dituduh sebagai seorang Rafidhah.
Didalam sanad tersebut juga terdapat perawi yang bernama Muhammad Bin Ishaq. Beliau merupakan seorang yang krontroversi dalam kalangan ‘ulama’ rijal. Berikut merupakan penilaian para ‘ulama’ rijal berkenaan beliau:
‘Ulama’ yang mengatakan beliau seorang yang tsiqah:
1. Berkata Syu’bah bin al-Hajjaj, Muhammad bin Ishaq murupakan Amir al-Mu’minin fi al-Hadits.
2. Beliau turut berkata, Muhammad bin Ishaq merupakan seorang yang benar di dalam Hadits.
3. Imam Ahmad berkata, beliau merupakan seorang yang baik di dalam hadits.
4. Ibn al-Mubarak berkata, beliau merupakan seorang yang benar (tiga kali).
5. Imam al-Bukhari berkata, aku melihat ‘Ali bin ‘Abd Allah berhujjah dengan hadits Ibn Ishaq.
6. Berkata Muhammad bin Sa’ad, bahawa beliau merupakan seorang yang tsiqah.
‘Ulama yang mengatakan beliau seorang yang tidak tsiqah:
1. Imam Malik berkata, beliau merupakan salah seorang dajjal.
2. Berkata Yahya bin Sa’id al-Qaththan, aku bersaksi bahawa sesungguhnya Muhammad bin Ishaq merupakan seorang pendusta.
3. Sufyan bin ‘Uyainah berkata, beliau merupakan seorang yang berfahaman Qadariah.
4. Yahya bin Ma’in berkata, belaiu seorang yang berfahaman Qadariah.
5. Ibn Numair berkata, beliau seorang yang dituduh sebagai berfahaman Qadariah. Beliau juga dijauhi oleh masyarakat.
6. Imam Ahmad berkata, bahawa Ibn Ishaq meruoakan seorang tadlis dan terlalu banyak melakukan tadlis.
7. Abu Hatim berkata, Muhammad bin Ishaq bagi aku bukanlah seorang yang kuat di dalam hadits , seorang yang lemah di dalam meriwayatkan hadits.
8. Di dalam riwayat yang lain, Imam Ahmad berkata, beliau tidak boleh dijadikan hujjah.
9. Yahya bin Ma’in juga berkata di dalam riwayat yang lain, beliau merupakan serang yang lemah.
10. Imam al-Nasa’ie berkata:Beliau seorang yang tidak kuat.
Berikut merupakan sebahagian daripada ratusan, bahkan mungkin ribuan pendapat para ahli rijal berkenaan Muhammad bin Ishaq. Jika diperhatikan, kita akan dapati, ada golongan yang menta’dilkan dan ada golongan yang mentarjihkan beliau, bahkan ada juga golongan yang mentarjihkan dan menta’dilkan Muhammad bin Ishaq, seperti Imam Ahmad, Yahya bin Ma’in dan lain-lain lagi.
Kesimpulannya, riwayat ini telah menjadi dha’if, bahkan mungkin menjadi dha’if jiddan berdasarkan sanad tersebut. Namun, bagi mereka yang mengatakan bahawa hadits ini dha’if dan masih boleh dipegang, maka perhatikanlah syarat-syarat yang digariskan oleh para ‘ulama’, seperti yang diletakkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani. Antara syarat –syarat tersebut adalah:
• Tidak menyebarkan ‘amalannya dengan hadits dha’if tersebut.
• Dha’ifnya tidaklah terlalu lemah dan bukanlah diriwayatkan oleh seorang pendusta, perawi yang dituduh berdusta ataupun perawi yang telah banyak melakukan kesilapannya.
Maka, perhatikanlah mengenai riwayat tersebut, bercanggah dengan syarat-syarat ini. Riwayat ini telahpun tersebar dan merupakan cerita yang masyhur dalam kalnga masyarakat kita. Ini disebabkan oleh penyebarannya oleh golongan agawan sendiri. Bukankah ini telah terkeluar daripada syarat-syarat yang telah digariskan. Seterusnya, seperti yang telah disebutkan diatas berkenaan perawi, mereka berdua adalah golongan yang dituduh sebagai pendusta oleh segolongan pengkaji ilmu rijal, ini telah terkeluar daripada syarat-syarat tersebut. Oleh itu, sama-samalah kita mempertimbangkan segala riwayat yang kita sebarkan, lebih-lebih lagi, jika disandarkan kepada Baginda Sallallahu’alaihiwasallam bagi mengelakkan kita daripada terjerumus kelembah neraka seperti yang disabdakan oleh Rasulullah sallallahu’alaihiwasallam:
حدثنا علي بن الجعد: أخبرنا شعبة قال: أخبرني منصور قال: سمعت ربعي بن جراش يقول: سمعت عليا يقول:
قال النبي صلى الله عليه وسلم: (لا تكذبوا علي، فإنه من كذب علي فليلج النار).
Ali bin Abi Thalib berkata, Nabi s.a.w bersabda: “Janganlah kamu berdusta di atas namaku, kerana orang yang berdusta atas namaku akan masuk neraka.”[Hadits Shahih riwayat al-Bukhari]
Usul Keempat: Riwayat yang menggambarkan sifat yang tidak sesuai dengan Baginda Sallallahu’alaihiwasallam.
Riwayat ini cukup jelas menggambarkan sifat yang tidak sepatutnya disandarkan pada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, iaitu keadaan Baginda bersama Ummu Hani’ seolah-olahnya seperti pasangan suami isteri. Ini dapat dilihat pada lafaz (فأخذت بطرف ردائه فتنكشف عن بطنه كأنه قبطة مطوية) yang bermaksud .(Aku pun memegang hujung kain selimut Baginda Sallallahu’alaihiwasallam, maka tersingkap perut Nabi s.a.w bagaikan kain qibthi yang berlipat). Ini tidak sepatutnya disandarkan kepada Baginda Sallallahu’alaihiwasallam yang ma’sum dan dipelihara oleh Allah daripada melakukan perkara-perkara maksiat. Tambahan, Ummu Hani’ bukanlah isteri Baginda Sallallahu’alaihiwasallam. Ini kerana, ‘ulama’ berpendapat bahawa isteri Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam setelah kewafatan sayyidatina Khadijah adalah ‘Aishah binti Abi Bakr al-Siddiq radhiyyallahu’anhum. Oleh itu, jelaslah bahawa riwayat ini terdapat kekeliruan.
Usul Kelima: Bercanggah dengan Tarikh atapun masa.
Riwayat ini turut bercanggah daripada segi tarikh ataupun masa peristiwa yang lain. Antara percanggahan tersebut adalah, waktu Ummu Hani’ memeluk Islam adalah pada tahun Pembukaan Makkah. Ini dapat dirujuk didalam kitab-kitab Tabaqat dan sebagainya. Di dalam kitab ( إسعاف المبطأ برجال الموطأ) karangan Imam al-Suyuti, (أسد الغابة) karangan Ibn al-Atsir, juga boleh dirujuk di dalam kitab-kitab berikut [الإصابة 4/504، تهذيب التهذيب 12/481، وتقريب التهذيب 2/625 ، وأعلام النساء4/14].
Usul Keenam: Riwayat yang tidak masuk akal.
Riwayat tersebut juga bercanggah dengan akal yang sejahtera dan sihat. Perhatikanlah di dalam riwayat tersebut ( فصلى العشاء الاخرة ثم نام ونمنا) yang bermaksud (Mula-mula Baginda s.a.w bersembahyang ‘Isya’ kemudian tidur.Kami pun turut tidur). Amat tidak logic sekali, bagaimana Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersembahyang Isya’ bersama Ummu Hani’ dengan berjemaah, sedangkan solat belum difardhukan lagi???
Khulasahnya, melalui bukti-bukti yang telah dikemukakan, jelaslah menampakkan ketidak shahihan peristiwa tersebut. Jika para pembaca mengatakan bahawa terdapat sanad yang lebih shahih yang menyokong riwayat ini, bagaimana pula dengan usul-usul lain yang telah dikemukakan tadi??? Oleh itu, sama-samalah kita membersihkan diri kita daripada apa-apa yang bercanggah dengan al-Qur’an dan al-Sunnah yang berhubungkait engan aqidah kita sebagai muslim. Wallahua’lam....





Tiada ulasan:

Catat Ulasan